Tuesday, October 19, 2010

Nama saya Mujahid part 1


Nama saya Mujahid. Umur saya 6 tahun. Saya anak bongsu daripada 6 adik-beradik. Hari ini hari yang gembira buat Abi, Ummi, Umar, Khalid, Zeinab, Ibrahim dan Khaulah.

Ummi sibuk di dapur menyediakan juadah istimewa buat kami, roti leper yang dibakar. Kata Ummi namanya manaeesh. Saya tak pernah makan manaeesh. selalunya Ummi hanya masak roti kmaj atau nasi yang dimakan bersama terung. Tapi biasanya hari-hari kami makan kmaj kerana kesukaran untuk dapat bekalan beras dan sayur-sayuran. Abi pernah menanam pokok terung di belakang rumah lama kami namun hanya beberapa tahun je kami dapat merasa terung itu. Pokok terung dan rumah kami itu akhirnya hancur dibedil kereta kebal pengganas Israel.

Sejak itu, kami terpaksa tinggal di kem pelarian dan terpaksa mengikat perut sebab bekalan makanan yang tak cukup. Saya pernah dengar Abi kata dekat Umar, bila tinggal beramai-ramai dalam kem pelarian, kita tak boleh pentingkan diri sendiri. Kita kena utamakan wanita, orang tua dan kanak-kanak. para pemuda dan lelaki yang gagah tidak sepatutnya berebut-rebut dengan golongan yang lemah untuk mendapatkan makanan. Waktu saya dengar Abi cakap macam tu, saya ludahkan balik makanan yang Ummi tengah suapkan kepada saya. Ummi marahkan saya kerana membuang rezeki.

"Ummi, Mujahid ialah orang lelaki yang gagah. Mujahid tak boleh makan hak golongan yang lemah dan memerlukan." Saya rasa malu menelan hak orang lain. Saya tengok airmata Ummi tumpah. Saya cepat-cepat minta maaf dekat Ummi sebab meludah rezeki. Ummi dan Abi memeluk saya. Ummi cakap, "cepatlah membesar, anakku. aku melihat masa depan Islam dan negara ini cerah dengan adanya kau." saya bersemangat mendengar kata-kata Ummi. saya berdoa kepada Allah agar saya cepat membesar supaya Ummi tidak menangis lagi.

Saya memandang Ummi yang berpeluh-peluh menguli roti leper itu untuk kami. Kadang-kadang Ummi memegang perutnya yang besar berisi adik saya itu. Ummi kata tak lama lagi saya bakal jadi seorang abang. Saya sangat gembira jadi abang. Maknanya saya akan jadi seperti Umar. Seperti Khalid. Seperti Ibrahim. Saya akan jadi ketua. Saya akan jadi pemimpin. Saya akan jadi Imam. Alhamdulillah. Setiap hari saya bagitahu Allah yang saya bersyukur saya bakal jadi abang.

Saya memandang pula Abi. Abi sedang menjaga api dapur. Sambil menjaga api, Abi bergurau dengan Ummi. Ummi ketawa kecil. Abi pun ikut ketawa. Abi memegang perut Ummi sambil berkata sesuatu kepada perut Ummi. Ummi ketawa kecil sambil memegang tangan Abi. Abi mengelap peluh di dahi Ummi. Ummi pun membalas perbuatan Abi. Saya tersenyum memandang Ummi dan Abi. Bila saya sudah dewasa nanti, saya juga mahu mempunyai isteri seperti Ummi dan menjadi suami seperti Abi.

"Ya Mujahid. mari dekat sini." Ummi menoleh lalu memanggil saya. Saya berlari-lari kecil ke arah Ummi dan Abi. Terasa hangatnya api dapur itu.

"Pegang perut Ummi ni." Ummi mencapai tangan saya. saya memegang perut Ummi. Saya dapat rasa perut Ummi bergerak-gerak. Saya tersenyum memandang Ummi dan Abi. Saya tak tahu nak cakap apa. Saya rasa kagum bercampur hairan. Saya memegang perut sendiri. Ummi dan Abi ketawa kecil.

"Ummi, Mujahid tak pernah rasa perut Mujahid bergerak-gerak macam perut Ummi pun. Kenapa Ummi?" Ummi hanya tersenyum.

"Mujahid, adikmu sedang menendang-nendang perut Ummi. Hehe.." jawab Abi.

"Ya Ummi. Ya Abi. adik Mujahid ni jahat ke? Mujahid sendiri tak pernah tendang perut Ummi! Nantilah bila dia lahir, Mujahid mesti ajar dia!" Ummi dan Abi tergelak mendengar kata-kataku. Apa yang kelakarnya punya adik yang jahat?

"Ini biasa, Mujahid. Adik Mujahid ni penat tinggal lama-lama dalam perut yang sempit ni. Dia dah tak sabar nak keluar. Dia nak berlari-lari dengan Mujahid." Terang Ummi lemah lembut. Kata-kata Ummi buat saya tersenyum.

"Adik, Mujahid pun tak sabar! Hehe..." Saya memegang perut Ummi lagi. Adik menjawab dengan menendang-nendang perut Ummi. Sungguh seronok! Adik dah kenal saya!

"Hai Mujahid. Dah bangun tidur? Baguslah. Cepat tolong Zeinab dan Khaulah kat depan. Aku dan Ibrahim nak solat Dhuha." Umar tiba-tiba muncul di pintu dapur.

"Aku pun nak ikut solat!"

"Kau boleh solat dengan Khalid lepas ni. Dia balik kejap lagi." Umar menepuk-nepuk kepalaku dan berlalu bersama Ibrahim ke bilik air untuk mengambil wudhu'.

Khalid nak balik kejap lagi?? Yayyy!!! dah lama tak jumpa Khalid. Abi ada bagitahu yang Khalid akan pulang tapi saya lupa pulak harinya. Sudah setahun Khalid pergi. Abi kata, Khalid pergi tunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam dengan menjalani latihan bersama pejuang mujahidin. Tak lama lagi Ibrahim akan menyusul. Manakala Umar telah tamat sesi latihan dan sibuk dengan pelbagai tugas di luar. Saya juga mahu ikut jejak mereka.

Saya melangkah ke depan. Di situ Zeinab dan Khaulah sedang mengepalkan sesuatu. Saya hanya melihat dengan perasaan hairan sambil mengerutkan dahi.

"Ini lebihan makanan di tempat kerja Umar. Kitorang tengah buat mahshi. Sayur-sayur ni semua dah dilumatkan. Ni tinggal nak gulung dan sumbat je. Kau tengok dulu kami buat lepas tu kau ikut." Kata Zeinab.

"Kenapa semua orang masak pelik-pelik hari ni? Semua nampak gembira. Ada apa?" Saya memerhatikan perbuatan Zeinab dan Khaulah.

"Khalid kan balik hari ni." Jawab Khaulah sambil menggulung kubis. Zeinab tersenyum sambil tangannya ligat menyumbat campuran sayur-sayuran. Saya akhirnya dapat menangkap langkah-langkah pembuatan mahshi dan turut sama ligat membuat mahshi bersama mereka. Sambil itu Khaulah mahu saya tasmi' (memperdengarkan) hafalan surah al-kahfi kepada mereka berdua.

Mahshi dan alunan al-kahfi bergaul mesra di ruang depan rumah. Umar dan Ibrahim masuk ke ruang depan sambil bersama-sama membuat mahshi dan mendengar saya membaca surah al-kahfi. Lama-kelamaan mereka semua ikut bersama-sama menghabiskan surah al-kahfi. Serentak itu juga mahshi selesai diproses. Zeinab dan Khaulah membawa mahshi-mahshi itu ke dapur untuk dimasak.

"Ini, buku nota aku. Nota-nota ini aku tulis semasa aku seusia dengan kau. Ibrahim dah khatam nota ni. Sekarang aku nak bagi kau. Semoga kelak kau jadi pahlawan agama yang dimuliakan Allah." Umar menghulurkan sebuah buku yang kulitnya tidak sempurna sepertimana kulit-kulit kitab lain yang berada di rumah ini termasuklah kitab al-Quran. Saya menyambut dengan gembira. Seolah-olah telah diberi kepercayaan yang besar oleh Umar untuk saya jadi lelaki dewasa. Saya rasa saya mampu menjadi seperti Umar, seperti Khalid dan seperti Ibrahim.

"Apa yang kau senyum sorang-sorang tu Mujahid? Lekas, kita tolong Abi kemas di luar." Ibrahim memanggil saya di muka pintu. Saya berlari-lari perlahan ke luar rumah. Abi sedang mengangkat keluar sampah-sampah dari dapur. Umar dan Ibrahim sama-sama menyusun batang-batang kayu di luar. Batang-batang kayu itu mereka buat untuk baiki rumah dan perabot. Saya juga tengok Ummi guna batang-batang kayu itu untuk bakar dapur.

Saya berlari ke arah Abi yang sedang menggalas bungkusan sampah di bahunya. Saya menolak bungkusan itu di belakang Abi agar dapat ringankan beban Abi. Abi senyum. Saya suka. Saya menoleh ke kanan dan melihat sebuah susuk tubuh yang seperti dikenali. Di dahinya terikat sehelai kain hijau.

"Khalid! Abi, Khalid! Ummi, Khalid! Umar, Khalid! Ibrahim, Khalid! Khaulah, Khalid! Zeinab, Khalid! Khalid dah balik!!!" Saya berlari-lari keliling rumah memanggil semua orang. semua orang bergerak menuju Khalid. Khalid berpelukan dengan semua orang sambil menangis. Khalid meluru ke arah saya dan mendukung saya. Khalid mencium wajah saya. Saya juga mencium wajah Khalid. Saya memeluk Khalid sekuat hati sambil menyebut alhamdulillah. Rindunya, Ya Allah. Terima kasih ya Allah sebab bagi saya jumpa dengan Khalid lagi. Saya masih ingat hari terakhir Khalid bersama saya, Khalid bercerita kisah Rasulullah kepada saya sebelum kami tidur.

"Esok aku akan pergi. Tapi InsyaAllah, dengan izin Allah, kita pasti jumpa lagi. Aku mahu berhijrah seperti Rasulullah. Dan aku akan pulang ke kampung asalku seperti Rasulullah kembali ke Makkah, biiznillah. Kau mesti jadi pemuda yang gagah bila aku balik nanti." Pagi itu Khalid pergi sebelum Subuh, sewaktu saya sedang lena diulit mimpi. Sepanjang hari saya menangis kerana tak sempat hantar Khalid pergi. Saya marahkan diri sendiri sebab terlalu lena tidur. Sejak itu saya pastikan saya mesti bangun sebelum Subuh.

Hari ini Khalid telah pulang. Semua orang gembira. Saya terlebih dahulu mengajak Khalid menunaikan solat Dhuha bersama saya. Saya sangat gembira berimamkan Khalid. Sudah lama saya rindukan suara merdu Khalid mengalunkan ayat-ayat Allah.

Setelah selesai solat Dhuha, Kami berkumpul ramai-ramai di ruang tamu dan berbual macam-macam dengan Khalid. Banyak kisah yang Khalid kongsikan dengan kami. Khalid bercerita tentang dia terperangkap dalam terowong. Khalid bercerita tentang tentang pengganas Israel yang berjaya menangkapnya sewaktu dia sedang berkawal pada waktu malam. Khalid di belasah dengan teruk dan dikencingkan oleh askar zionis yang keji itu. Kemudian dia telah dipenjara dan diseksa selama 3 hari kemudian dilepaskan kerana beberapa orang pegawai penjara zionis menjadi gila semasa mengawalnya di penjara, sedangkan Khalid tidak berbuat apa-apa kecuali bersolat dan berzikir mengingati Allah. Khalid yakin, itu pertolongan Allah.

Saya kagum mendengar kisah-kisah Khalid. Sedang kami rancak berbual, Ummi, Zeinab dan Khaulah membawa masuk hidangan yang telah siap dimasak. Baunya sungguh harum, subhanallah. Inilah pertama kali saya dapat bau makanan yang harum.

"Alhamdulillah. Ini rezeki kita hari ini. Tentu Mujahid tertanya-tanya kenapa hari ni nampak sangat istimewa kan?" Abi memandang ke arah saya. Saya tersenyum sambil menjawab "sebab Khalid balik!" Saya memandang Khalid dengan rasa bangga.

"Betul. Tapi kami juga meraikan kamu wahai Mujahid." Saya terkedu. Meraikan saya? Semua orang tersenyum memandang saya.

"Betul, Mujahid. Abi tak bohong. Kami meraikan Mujahid yang berjaya khatamkan al-Quran dan berjaya menghafal 15 juzuk al-Quran!" Saya terkejut.

"Subhanallah! Alhamdulillah! Mujahid rasa tak patut nak raikan Mujahid sebab Mujahid masih kecik lagi. Mujahid belum jadi pemuda gagah macam Umar, Khalid dan Ibrahim." Saya menggaru-garu kepala yang tak gatal.

"Ah kau ni. Aku percaya tiada kanak-kanak 6 tahun yang lebih dewasa daripada kau di dunia ni!" Khalid menepuk-nepuk belakang saya.

"Kau mana tahu, Khalid. Kau belum pernah jumpa semua kanak-kanak 6 tahun di dunia ni." Saya membantah.

"Hahaha..aku tahulah sebab kau adik aku!" Khalid menarik pipi saya. Saya benci diperlakukan macam tu. Macamlah saya masih kanak-kanak lagi. Saya mencebik.

"Dia tak suka orang tarik pipi dia. Dia orang dewasa, kau tahu!" kata Umar kepada Khalid. Rumah jadi riuh rendah dengan gurauan mereka. Saya rindu suasana ini. Jarang-jarang kami sekeluarga dapat berkumpul. Biasanya orang-orang lelaki dalam rumah ni keluar bekerja berhari-hari. Ibrahim pula sibuk di kuliah. Saya hanya selalu bersama Ummi, Zeinab dan Khaulah di rumah ini. Sebagai seorang lelaki, sayalah yang bertanggungjawab menjaga mereka di rumah. Walaupun Zeinab dan Khaulah selalu kata mereka yang lebih besar lebih bertanggungjawab, tetapi saya lelaki. Saya tetap ketua walaupun saya jauh lebih muda dan lebih kecik daripada mereka.

"Sudah, sudah. Mujahid, bacakan al-fatihah dan doa makan." Abi mengeluarkan arahannya.

Saya menadah tangan. Bismillahirrahmanirrahiim...

"BAAAMMMM!!!"

No comments:

Post a Comment

komenla ape sahaja~♥~