Wednesday, February 17, 2010

♦ Hasan al-Banna

assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh

Bersempena dengan tema As-Syifaa’ edisi kali ini, iaitu ‘The Hero in You saya secara peribadinya ingin mengajak para pembaca agar menghayati setiap tokoh yang telah kami paparkan dalam edisi-edisi sebelum ini agar dapat dijadikan pemangkin dalam menggilap potensi diri ke arah pembentukan jati diri serta peribadi yang mulia seterusnya menzahirkan ‘the hero in you’.

Tokoh yang ingin diceritakan dalam edisi kali ini adalah merupakan seorang lagi ‘hero’ dalam perjuangan menegakkan agama Allah yang benar dan mulia ini. Beliau merupakan anak jati Mesir yang dilahirkan di Kota Al-Mahmudiyah di kawasan Delta Nil Wilayah Buhaira, Mesir. Beliau telah dilahirkan pada 25 Syaaban 1324 Hijrah bersamaan dengan 14 Oktober 1906. Beliau lahir dan dibesarkan dalam keluarga yang hidupnya penuh kesederhanaan. Bapanya merupakan salah seorang ilmuan agama yang dihormati serta ahli perniagaan yang disegani.

Beliau yang dimaksudkan ialah Hasan Ahmad Abdul Rahman Al-Banna atau lebih dikenali sebagai Hasan Al-Banna. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah tahfizhul Qur’an di Al-Mahmudiyah. Kemudian beliau bersekolah di sekolah ‘Al-Mu’allimin Al-Awwaliyah’ di Damanhour. Kemudian pada tahun 1923, beliau mendaftarkan diri di Fakulti Dar El-Ulum di Kaherah. Beliau turut mendalami ilmu-ilmu lain seperti geografi, sejarah, ekonomi politik, sistem pemerintahan dan sastera.

Beliau dikenali di seluruh dunia melalui gerakan yang diasaskan sendiri oleh beliau, iaitu Ikhwanul Muslimin. Sebelum beliau menubuhkan jamaah tersebut, beliau terlebih dahulu melibatkan diri dalam gerakan dakwah dalam persatuan seperti ‘At-Tariqah Al-Hasyofiyah’ dan ‘Jam’iyah Man’u Al-Muharramat’. Beliau juga turut serta dalam penubuhan Syubbanul Muslimin.

Hadirnya beliau seperti penawar dalam kelelahan umat Islam di seluruh dunia. Beliau hadir dalam era moden sekitar tahun 1920-an yang mana di waktu itu umat Islam menerima tekanan yang hebat daripada pihak barat yang semakin rancak mencabut jati diri muslim melalui agenda-agenda mereka. Melalui kebijaksaan yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada beliau, beliau hadir membawa aliran pemikiran yang dilihat mampu menggagalkan segala rancangan barat yang ingin memecahbelahkan umat Islam serta merosakkan dunia melalui agenda-agenda mereka.

Melalui Ikhwanul Muslimin, beliau telah memperkenalkan agenda beliau tentang masa depan umat Islam. Beliau membentangkan konsep manhaj islami yang bertujuan untuk melakukan perubahan dan pembaharuan dalam sistem kehidupan umat Islam. Manhaj tersebut dilaksanakan melalui proses tarbiyyah serta harus progresif dalam melakukan perubahan. Intipati manhaj tersebut ialah melahirkan individu Muslim, keluarga Muslim, masyarakat Muslim, pemerintahan Islam seterusnya Negara dan khilafah Islam dan akhirnya mencapai tahap ustadziyatul alam.

Selain itu beliau juga turut aktif dalam memperjuangkan nasib Palestin. Beliau menyeru agar cadangan membahagikan tanah Palestin yang dikeluarkan oleh PBB pada tahun 1947 ditentang habis-habisan. Beliau telah mengajak umat Islam berjihad di Palestin demi mempertahankan tanah itu serta tanah Arab dan orang Islam keseluruhannya. Beliau telah menghantar pejuang Mujahidin dari Ikhwanul Muslimin ke Palestin untuk berjuang dalam rangka jihad suci memerangi kaum Yahudi pada tahun 1948. Walaubagaimanapun tindakan ini telah menyebabkan Ikhwanul Muslimin dibubarkan oleh pemerintah kerajaan Mesir. Beliau telah ditangkap, dipenjarakan serta diseksa sehingga akhirnya menemui syahid di jalanAllah pada usia yang masih muda.

Sekalipun beliau telah pergi, namun jasadnya masih mewangi dan jiwanya masih hidup di hati pengikut-pengikutnya yang sehingga hari ini masih meneruskan kesinambungan perjuangan As-Syahid Iman Hasan Al-Banna. Dianggarkan lebih satu juta orang membawa aliran pemikiran Al-Banna di hampir 90 buah negara di seluruh dunia. Pemikiran beliau mendominasi pemikiran perubahan pada abad ini serta terus mekar berkembang. Subhanallah begitu hebatnya sentuhan pejuang agama Allah ini. Beliau hebat dalam memahami masalah dan cabaran umat di zaman moden serta mengkaji dan mewujudkan satu formula yang berkesan dalam memerangi serangan pemikiran barat yang tegar memperjuangkan agenda humanisme.

Beliau merupakan salah seorang tokoh yang perlu dicontohi semangat dan keazaman serta keperibadiannya. Memetik daripada buku ‘Cinta Di Rumah Al-Banna’, selain dikenali sebagai tokoh dalam masyarakat, beliau juga hebat dalam mempamerkan ketokohannya dalam rumah tangga. Beliau merupakan suami yang prihatin dalam rumah tangga serta ayah yang penyayang terhadap anak-anaknya. Beliau bijak mengedalikan masalah rumah tangga. Beliau juga sangat mengambil berat akan hal setiap ahli keluarganya. Beliau juga amat memuliakan tetamu. Maka tidak hairanlah mengapa tokoh ini amat dikagumi dan segar di hati-hati pengikutnya termasuk umat Islam pada hari ini yang tidak sempat menemuinya.

Sekiranya kita imbas kembali perjalanan hidup beliau, kita akan lihat kehebatan seorang Hasan Al-Banna dalam mengemudi kehidupannya di dunia. Beliau jelas akan matlamat hidupnya. Beliau menjadikan agama Islam sebagai pegangan dan cara hidupnya. Beliau bebas daripada penjajahan minda oleh barat. Hal ini menjadikan setiap apa yang dilakukannya hanyalah demi mendapat keredhaan Allah serta untuk menegakkan kalimah Allah dimuka bumi ini. Begitu hebatnya Hasan Al-Banna sehingga akhirnya dijemput Allah dalam keadaan yang sungguh mulia sekali. Tiada apa yang lebih bahagia selain daripada mati di jalan Allah. Bukankah hidup ini adalah untuk mendapatkan mati yang sempurna? Dan mati yang sempurna hanyalah mati di jalan Allah.

Ternyata aliran pemikiran yang dibawa Hasan Al-Banna amat relevan dengan kita yang hidup di era serba moden dan canggih ini. Maka kita seharusnya cuba memahami dan mendalami pemikiran beliau demi melepaskan diri kita daripada cengkaman barat sama ada dari segi cara hidup, pemikiran mahupun politik. Berikut ialah petikan kata-kata daripad Al-Banna yang sangat elok untuk kita sama-sama renungkan:

“Bukankah sebuah paradoks yang aneh, kita meninggikan suara untuk menuntut kemerdekaan daripada Eropah dan melakukan protes keras terhadap segala tindak-tanduknya, sementara di sisi yang lain kita mengagungkan tradisi-tradisinya dan terbiasa dengan adat-adatnya, dan bahkan kita lebih memilih produk-produknya?”

Bangkitlah wahai umat Islam dan pemuda-pemuda Islam di IMU khususnya. Saya percaya para pembaca sekalian punya azam dan impian untuk membangunkan semula Islam di mata dunia serta melihat Islam kembali memerintah dunia. Masanya akan tiba, itu janji Allah. Tapi sementara itu, mari kita gerakkan diri dan jiwa kita ke arahnya. Persiapkan fizikal kita, mental kita dan jiwa kita untuk bekerja dan berjuang demi Allah. Kita semua boleh lakukannya! Jom kita buangkan dan tinggalkan segala ‘kebaratan’ yang ada dalam diri kita dan mengambil Islam sebagai satu-satunya cara hidup dan cara berfikir kita. InsyaAllah jutaan Hasan Al-Banna akan dilahirkan. Bukan sahaja Hasan Al-Banna, bahkan kelak insyAllah kita juga bakal melahirkan jutaan Salahuddin Al-Ayubi, Khalid Al-Walid, Umar Al-Khattab dan ramai lagi pejuang Islam. Dan guess what? Semua tokoh-tokoh itu tidak mustahil dilahirkan dalam diri kita sendiri! Kenali the hero in you!

rujukan: kertas kerja konvensyen pemikiran Hasan Al-Banna dalam melakar agenda bangsa, cinta di rumah Hasan Al-Banna.

No comments:

Post a Comment

komenla ape sahaja~♥~