Thursday, March 7, 2013

bittersweet hot choc


Ke hadapan girlfriendsku yang tersayang~

Masih ingat lagi pertemuan kita 16 tahun yang lalu?

Kita darjah 3. Ada antara kita yang masih asing di mata masing-masing. Ada yang sudah kenal. Kita berkenalan dalam kelas yang sama, masuk pertandingan nasyid sama-sama dan pertandingan sukan. Ditakdirkan Allah, kita sekelas sampai darjah 6. Dan dalam tempoh itu kita menjadi rapat. Kita rasa kita popular di sekolah. Kita jadi pengawas pusat sumber lepas tu kita conquer pusat sumber tu macam rumah kita. Cikgu tak masuk kelas, kita lari masuk pusat sumber. Kita juga suka membuat persembahan setiap kali hari guru. Kita suka ronda sekolah jual surat khabar Didik. Kita bertapa dalam bilik wudhu. Kita suka masuk pertandingan kawad kaki. Kita suka pergi camping unit beruniform di sekolah. Kita tidur di sekolah dan kita jumpa benda-benda yang mengerikan. Sekolah kita tu tapak peperangan jepun dulu maka cerita hantu jepun tak pernah lekang di bibir semua orang.

persembahan hari guru SKBTHO

Ingat lagi kita pun sekelas di sekolah agama? Kita pandang ringan sekolah agama. Kita suka ponteng sekolah agama dengan alasan pergi latihan rumah sukan. Sekolah agama kita dekat dengan kedai runcit Jains dan kedai aunty. Kita suka beli makanan ringan. Bawah meja kita penuh dengan plastik cikedis-cikedis dan plastik keropok lekor.

Ingat lagi masa kita dapat keputusan UPSR? Kita semua cemerlang. Kita sedih lepas ni kita akan pergi sekolah berlainan sebab kita memang menyimpan cita-cita untuk ke sekolah berasrama penuh.

Ingat lagi masa kita masuk sekolah menengah. Kita semua teruja. Pakai kain warna biru muda. Kita rasa dah besar. Jerawat kita pun semakin subur membiak. Tapi kita sedih satu persatu kawan kita pergi sekolah asrama penuh. Hanya sedikit daripada kita yang tinggal including myself.




Masih ingat lagikah saat kita membuat temujanji "esok pergi sekolah sekali tau. Tunggu kat tempat biasa."

Dan kemudian esok paginya kita berkumpul seperti yang dijanjikan. Pagi-pagi pergi sekolah tanpa rasa malas. Malah teruja. Berjalan seiring ke sekolah bersama angin pagi yang sejuk-sejuk Malaysia. Kita berlawak jenaka tak kenal tempat. Melintas jalan raya sambil ketawa. Semua objek di sepanjang jalan boleh jadi bahan jenaka. Pernah waktu balik sekolah kita menyanyi lagu Negaraku bila nampak bendera tegak berkibar di kawasan perumahan Perdana Park. Lepas tu kita gelakkan diri sendiri.

 Hari Kecemerlangan 2004--award for PMR

Kita dulu geng pengawas. Kita rasa kitalah yang berkuasa kat sekolah. We rule. Kita pergi sekolah sambil tugasan menjaga pelajar menanti kita di sekolah. Kita masuk sekolah ikut pintu belakang yang penuh onak duri sebab kita suka ambil jalan pintas. Kita datang dari arah belakang sekolah, maka masuk ikut pintu belakang yang 'haram' lebih cepat. Kita redah lalang panjang ke muka. Kita langkah longkang besar atau lebih proper dipanggil parit? 

Siapa yang bertugas di jaga pintu belakang, untunglah. Terus boleh bertugas. Lepas tu kita berpisah. Ada yang jaga pintu depan, ada yang jaga perhimpunan, ada yang jaga tangga, jaga bilik darjah, jaga blok dan macam-macam lagi. Rupanya kita sebenarnya dulu kerja JAGA. hehe 


4 Bestari 2004. Believe it or not we were classmates since standard 3!

Setiap hari Isnin, kita semua kena berdiri jaga pelajar masa perhimpunan. Pukul 8 pagi tu masih boleh tahan. Dah masuk 8.30, matahari panas terik. Silau. Kita mula sorok-sorok belakang kawan supaya tak kena matahari. Dalam kita jaga pelajar suruh mereka senyap, kita pun sama buat orchestra kat belakang. Selesai perhimpunan, kita kena check kuku pelajar pula. Saya selalu rasa mahu pitam melihat orang berpusu-pusu keluar perhimpunan. Kuku pun dah tak nampak seperti kuku.


 Raya tour agenda wajib setiap tahun. Zaman sekolah dulu saya adalah 'mayat hidup'.


Kita orang paling lambat masuk kelas. Kita jugalah orang paling awal keluar kelas. Pengawas dibenarkan keluar rehat awal. Antara sebab utama nak jadi pengawas dulu. 10 minit sebelum waktu rehat, kita dah keluar menikmati makanan yang lazat-lazat di kantin Abang Zam. Bila semua pelajar keluar rehat, kita pun bertugas. Jadi pengawas selalu kena berlakon garang. Macam-macam pengalaman yang kita lalui berdepan dengan budak-budak nakal. Saya sendiri pernah ditarik kain tudung ala-ala kolar baju/tie yang kena tarik ke atas. 



Masih ingatkah lagi kita suka stay back lama-lama di sekolah? Kita bersembang, study group dan berlatih sketsa lakonan. Ingat lagi Bawang Putih Bawang Merah versi English yang kita persembahkan semasa English week? Kita menang besar. Kita memang berusaha keras untuk drama tersebut. Oleh sebab itu kita jadi rapat macam adik beradik. 

Bawang Merah and Bawang Putih 2003

Kita bukan sahaja rapat di sekolah. Malah setiap petang, lepas waktu sekolah, kita akan bertemu janji lagi. Kita berjalan-jalan setaman, kita makan ABC, makan cendol, makan goreng pisang, makan mee goreng mamak di As-Syifa', kita main di playground. Malam-malam pula kita bergayut di telefon. Kita memang tak pernah jemu bercerita. Kita cerita itu ini, kadang-kadang pusing isu sama tapi tak bosan-bosan jugak. Hari minggu pula, kita jogging pagi-pagi bersama. Walaupun hari berjerebu tebal, kita pun tetap nak keluar nak jalan-jalan bersama. 

Ingat lagi tak, projek ERT kita kena siapkan apron. Rumah kita takde mesin jahit jadi kita pun saja mengada nak tidur di rumah kawan kita yang ada mesin jahit. Kita jahit sama-sama sampai tertidur-tidur secara berganti-ganti. Jarum mesin jahit kawan kita tu dah berkali-kali terpatah angkara kita. Kita seronok dapat bermalam bersama-sama.



Kita pun aktif berkokurikulum bersama. Bila ada camping, kita tak pernah miss. Itulah peluangnya untuk kita bersama sepanjang masa tanpa gangguan ibubapa. Kita juga suka pergi lawatan-lawatan luar sekolah bersama. Kita suka naik bas ramai-ramai. Lepas tu kita shopping ramai-ramai. Masa dulu-dulu kita mana reti nak keluar naik tren pergi mid valley kan? Mak kita cakap kita budak-budak lagi. Tak boleh memandai keluar ke bandar. Jadi, masa ada lawatan-lawatanlah kita bersuka-ria bershopping souvenir. 


Bila sekolah buat pertandingan-pertandingan, kita suka sangat masuk. Bukan sebab kita pandai sangat pun. Kita suka pergi sekolah orang je. Kat area Hulu Langat tu, sekolah apa yang kita tak pernah pergi. Lagi-lagi muka kita yang masuk pertandingan tapi semua kalah. Hehe. Akhirnya masa form 5 kita menang juga tempat ke-3 pertandingan kuiz KOMSAS. Itupun setelah rematch dengan sekolah lain yang seri dengan kita. Itupun nasib baik kita baca paper semalam, jadi kita tahu jawapan untuk soalan rematch. 


Kita menyanyi menari bersama. Kita juga banyak menangis bersama. Kita pernah salah faham. Pernah juga salah faham kita melibatkan ramai orang lalu kita bawa kes kita ke bilik kaunseling. Kita kena kaunseling ramai-ramai dan menangis beramai-ramai. Kita janji kita akan berubah, kita tak akan ulang lagi dan kita tetap kawan yang saling mempercayai. Kita pernah menangis beramai-ramai sambil berpelukan di tepi jalan, kat dalam kelas, dalam sekolah.


Kita selalu berangan-angan dah besar nanti kita nak tinggal sebumbung, kita nak bersama sampai mati. Kita plan perjumpaan untuk 4 tahun akan datang. Kita tulis impian-impian kita bila menjelang dewasa. Kita abadikan kenangan-kenangan kita dalam gambar, dalam buku autograph, dekat dinding bangunan, atas meja sekolah, koridor sekolah, majalah sekolah dan merata-rata lagi.


Kita terlalu rapat. Terlalu-lalu. Bila tamat SPM, kita berpecah. Ada yang pindah rumah. Kita dihantar belajar tempat lain-lain dan jauh-jauh. Cuma 3 daripada kita yang dapat belajar di tempat yang sama. Namun kita tak pernah putus hubungan. Pantang ada cuti, pasti kita buat gathering. Kita masih banyak topik untuk disembangkan. Kita masih bergayut di telefon. Kita masih attach to each other. Kita masih bergantung antara satu sama lain. Kita masih berkongsi masalah. Kita masih tolong-menolong dan bantu-membantu.

right after SPM 2005

16 tahun and counting. Sangat lama. Terima kasih, Allah for granting me such a longlasting friendship. Eh. Tiba-tiba cakap omputih. huhu..Ok marilah berbahasa melayu kembali.


Persahabatan ini terlalu dalam, terlalu bermakna dan terlalu berharga. Usia kita menginjak dewasa kini. Dan kita saksikan satu persatu kawan kita melangkah ke alam rumahtangga. Kita makin rasa kita sudah tidak erat seperti dulu. Mula rasa terabai. Mula rasa asing.

Girlfriends,
Usah sedih. Kenang kembali 16 tahun yang lalu, kita seolah-olah hidup sesama kita sahaja. Dunia kita adalah kita punya. Kini sempena dengan kedewasaan kita, kita diajar untuk berpisah dan mengurangkan kebergantungan kita sesama sendiri. Kalau dulu kita rasa kita memiliki antara satu sama lain, sedarlah satu-persatu daripada kita akan berpindah 'hak milik'. Dan pada ketika itu, kita terpaksa merelakan bahwasanya masa kawan kita kini tercurah sepenuhnya kepada pemilik hatinya yang baru. Dia tidak mengkhianati kita, sebaliknya dia hanya menunaikan tanggungjawabnya yang terutama. Jika ikhlas berkawan, usah mengharap apa-apa daripada kawan kita. Sebaliknya, teruskan dengan memberi dan memberi. Simpanlah segala rasa yang tidak enak di hati dan biarkan ia terpadam perlahan-perlahan dari lubuk hati kita.

Ini adalah transition. Susah untuk diterima. Tapi kelak, lambat laun semuanya akan jadi biasa. Dan nantikanlah saatnya, dengan izin dan perkenan Allah, kita bakal bertemu semula dalam suasana yang berbeza bersama muhibbah yang luarbiasa. Dan semoga Allah izinkan kita bersahabat kekal hingga ke syurga dan di sana nanti kita hiduplah bersama sepuasnya :)



Inilah pahit manis persahabatan. Yang pahit itu ubat. Yang manis itu penawar (sounds the same hoho). Telanlah semuanya dengan redha. 

p/s: this entry is dedicated to my dear childhood friends. you know who you are =)

No comments:

Post a Comment

komenla ape sahaja~♥~