Wednesday, October 14, 2009

♦ Yusuf Estes

salam..yang ni plak my first piece for as-Shifaa'..rase mcm dah post sblm ni..kat blog lg satu kot..xpela,post la kat sini plak kn..hehe..version as-shifaa' pendek je sbb limited page.yang di post kat sini ialah versi original,unedited by the editor.sebab tu panjang giler.but for my 2nd piece, aku belajar untuk memendekkan karanganku sebab xnak la susahkan encik editor yang ade banyak lagi tugasan nak buat selain mengedit karangan aku.

YUSUF ESTES: DARI SEORANG PENDAKYAH KRISTIAN KEPADA SEORANG PENDAKWAH ISLAM

Allah pernah berfirman:
"Barangsiapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barangsiapa dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah akan menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman." (6:125)

Begitulah kuasa yg ada pada Allah yang menguasai hati-hati manusia. Dia berhak membolak-balikkan hati sesiapa sahaja. Daripada seorang yang zalim kepada seorang yang mulia. Daripada seorang yang mulia kepada seorang yang hina. Hanya Allah yang layak memilih siapa yang dikehendakinya utntuk diberikan taufiq wal hidayah.

Siapa sangka seorang rakyat Amerika yang sering berdakwah memperjuangkan agama kristian serta lahir dalam keluarga kistian yang kuat pegangannya akhirnya dibukakan hati untuk menerima agama Islam yang suci lagi benar.

Seorang hamba Allah telah dilahirkan pada 1 Januari 1944 di Ohio kemudian dibesarkan di Texas. Awalnya dikenali sebagai Skip. Beliau menganut fahaman Gospel, manakala ayahnya merupakan seorang penganut Protestant. Oleh kerana dilahirkan dalam keluarga yang berlatarbelakangkan agama kristian yang teguh, maka sejak kecil hidupnya sentiasa sibuk dengan perjuangan menyebarkan agama samawi itu. Beliau juga merupakan seorang pengarah muzik di gereja sekitar Amerika Syarikat. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai delegasi dalam United Nation Peace Conference for Religious Leaders. Kemudian, dia dan bapanya telah menceburkan diri dalam bidang perniagaan yang melibatkan bidang hiburan termasuk industri muzik. Akuinya, hidupnya dahulu terlampau sibuk dengan urusan untuk mencapai kejayaan duniawi berserta mengumpul harta kekayaan. Namun jauh di sudut hatinya, terasa seperti ada sesuatu yang masih tidak lengkap. Mindanya masih tidak tenang. Ada keraguan berkenaan agamanya yang bermain-main dalam kepalanya. Konsep ‘Trinity’ yang dipegangnya masih samar-samar walaupun telah diajar supaya mempercayainya. Malahan katanya, perkataan ‘trinity’ juga tidak wujud sama sekali dalam bible. Begitu juga dengan konsep ‘original sins’ yang masih tidak jelas pada pemahamannya. Namun begitu, jiwanya kuat untuk mengenal Tuhan. Maka pencariannya dikuatkan dengan turut mendalami agama-agama lain termasuk pecahan-pecahan fahaman dalam agama kristian seperti The Baptists, Methodists, Episcopalians, Charismatic movements, Nazarene, Church of Christ, Church of God, Church of God in Christ, Full Gospel, Agape, Catholic, Presbyterian dan macam-macam lagi. Selain itu beliau turut mengkaji bidang Metaphysics. Boleh dikatakan semua kepercayaan.fahaman dan agama di dunia ini beliau terokai. Namun hanya satu agama sahaja yang tidak disentuh langsung olehnya. Islam.

Sebagai rakyat Amerika, beliau sudah biasa disogok dengan ideologi barat yang mengatakan orang Islam itu pengganas. Tambahan pula beliau dibesarkan dalam persekitaran kristian yang amat kuat serta mempunyai sentimen kebencian yang melampau kepada Islam. Maka hal itu melumpuhkan terus minatnya untuk mengenali agama Islam. Mendengar sahaja tentang orang Islam, beliau sudah membayangkan muka mereka yang ganas, berjambang melebihi dada, berserban dan berjubah. Walaubagaimanapun sangkaan ini meleset sama sekali sebaik sahaja beliau diperkenalkan oleh ayahnya kepada seorang ahli perniagaan dari Mesir yang langsung tidak berpenampilan seperti sangkaannya. Ayah beliau mengkehendaki beliau supaya berurusniaga dengan lelaki Mesir tersebut yang beragama Islam. Pada mulanya beliau menolak cadangan ayahnya dengan alasan orang Islam itu adalah pengganas dan tidak layak dijadikan rakan niaga. Namun begitu, setelah dipujuk ayahnya, Beliau akhirnya terpaksa akur. Tetapi jauh di sudut hatinya, beliau telah memasang niat untuk menarik lelaki Mesir itu untuk memeluk agama kristian yang dicintainya. Fikirnya, lelaki Mesir itu harus diselamatkan akidahnya sebelum lebih jauh tersesat dalam agama yang menganjurkan keganasan, Islam.

Hari demi hari terus berlalu. Beliau menjadi semakin akrab dengan rakan niaga Mesir itu yang dipanggil Mohamed. Mereka sering berdiskusi hal-hal keagamaan memandangkan Skip percaya yang Mohamed masih boleh ‘diselamatkan’ memandangkan kepercayaan mereka yang hampir serupa. Pada kali pertama pertemuan, Skip telah bertanya kepada Mohamed tentang beberapa soalan berkenaan kepercayaannya. Dan yang paling beliau terkejut ialah apabila Mohamed mengakui kewujudan Jesus, Kitab Injil dan beberapa nabi lain seperti Nabi Daud, Nabi Sulaiman, Nabi Musa dan Nabi Ibrahim serta peristiwa Laut Merah yang terbelah dua. Pengakuan Mohamed itu sungguh menggembirakannya. Mereka sentiasa menghabiskan masa bersama sehingga pada suatu hari Skip mengetahui bahawa Mohamed telah berpindah keluar dari rumahnya dan bercadang mahu tinggal di masjid buat sementara waktu. Dengan pantas Skip menawarkan Mohamed supaya tinggal bersama keluarganya. Pada pandangannya, hal ini akan lebih memudahkan ‘operasi’nya untuk membaptiskan Mohamed.

Pada suatu hari kawan Skip telah diserang serangan jantung. Beliau dan Mohamed telah pergi melawatnya di hospital. Takdir Allah telah menemukan mereka dengan seorang tua yang berkerusi roda yang berkongsi bilik wad dengan kawan Skip. Rupanya lelaki tua itu merupakan seorang paderi katolik. Setelah paderi tua itu dikeluarkan dari hospital, Skip dengan murah hatinya mengajak paderi itu untuk tinggal bersama keluarganya. Mereka sering berbincang tentang agama termasuklah agama Islam. Amat memeranjatkan, paderi itu telah memberitahu Skip bahawa sememangnya kebanyakan paderi katolik turut mengkaji Islam sehingga ade yang meraih ijazah kedoktoran untuk tujuan itu.

Skip dan keluarganya termasuk dua ‘ahli keluarga baru’nya juga turut berkongsi tentang ajaran yang terkandung dalam kitab masing-masing. Perbincangan tersebut amat menarik kerana kebanyakan mereka memegang fahaman yang berbeza-beza walaupun mereka beragama kristian. Dalam pada itu, mereka turut memancing Mohamed untuk menganut Islam namun telah ditolaknya dengan cara baik. Mereka juga menjadi tertarik untuk mengetahui dengan lebih mendalam tentang al-Quran. Rasa kagum mereka semakin bertambah apabila mengetahui bahawa al-Quran hanya ade satu versi sahaja sejak beribu tahun dulu, berbeza dengan kitab Injil. Mereka menjadi kagum bagaimana al-Quran telah dihafal sepenuhnya daripada satu generasi kepada satu generasi tanpa ada satu kesilapan pun walaupun satu huruf.

Telah tertulis di Lauh mahfuz yang pada suatu hari, tiba-tiba paderi tua itu ingin Mohamed menemaninya ke masjid untuk memerhatikan sendiri orang Islam beribadat. Hal ini telah menimbulkan kehairanan kepada Skip. Nalurinya juga amat takut dengan tindakan paderi tua itu. Setelah beberapa ketika, mereka pulang ke rumah Skip. Skip telah bertanya kepada paderi tua itu tentang apa yang dilihatnya di masjid. Paderi tersebut hanya memberitahu tiada apa sangat yang dilihatnya selain daripada manusia yang masuk untuk beribadah.dan kemudian pulang. Perkara ini menimbulkan keraguan dalam fikiran Skip. “Tiada nyanyian? Tiada khutbah?” Skip cuba mendapatkan kepastian.

Beberapa hari kemudian paderi tua itu telah sekali lagi meminta Mohamed menemaninya ke masjid. Skip bertambah risau dengan tindakan paderi tua itu. Beliau menunggu di rumah dengan rasa yang berdebar-debar. Akhirnya paderi tua itu pulang sebagai seorang Islam dan amat memeranjatkan Skip. Beliau memberitahu berita ini kepada isterinya dan sekali lagi beliau dikejutkan dengan hasrat hati isterinya yang ingin memeluk Islam juga. Kali ini beliau bingung. Beliau telah mengajak Mohamed untuk berbincang tentang Islam. Akhirnya pada awal pagi esoknya, Skip telah keluar dari rumahnya dan sujud di atas tanah sambil menghadap kiblat umat Islam. Dalam hatinya, beliau bermohon dengan sepenuh pengharapan supaya ditunjuki ke arah jalan yang benar dan lurus. Sesudah sujud, Skip merasakan satu perasaan yang aneh dalam dirinya. Kini hatinya penuh yakin bahawa agama Islam itu benar. Allah itu wujud. Muhammad juga wujud. Terucaplah kalimah syahadah di bibirnya di hadapan bekas paderi tua dan Mohamed. Maka pada tahun 1991, lahirlah seorang Yusof Estes, Muslim yang disegani sehingga ke hari ini. Beberapa minit selepas syahadah diungkap oleh Yusof, isterinya menyusul pula. Beberapa bulan kemudian, ayahnya pula. Kemudian ibu tirinya. Maka berkembanglah Islam di bumi Amerika. Bumi yang memandang hina umat Islam.

Penyertaan Yusof dalam dunia Islam Amerika telah banyak mengubah senario umat Islam di sana. Setelah kembali kepada fitrahnya, iaitu memeluk agama Islam, beliau telah mempelajari bahasa Arab dan mendalami al-Quran di Mesir, Turki dan Maghribi. Beliau kemudiannya telah dilantik menjadi National Muslim Chaplain for American Muslims dan Muslim Chaplain for United States Bureau of Prisons, Washington DC. Sebagaimana beliau bersungguh-sungguh dalam memperjuangkan agamanya dahulu, begitu jugalah semangat yang digenggamnya kini. Cuma perjuangan kali ini lebih bermakna dan lebih membawa kebaikan sejagat. Beliau berdakwah di seluruh pelosok dunia. Beliau juga turut mengadakan beberapa dialog tentang Islam dengan paderi-paderi kristian di seluruh dunia. Beliau juga pernah datang ke Malaysia sebagai sebahagian daripada rangka kerja dakwahnya. Beliau juga aktif dalam menerbitkan dan mengarahkan program-program TV yang berunsurkan Islam. Antaranya ialah rancangan kanak-kanak, Qasas Ul Anbiya (Sirah/Sejarah para nabi). Beliau juga pernah menjadi Imam di Texas. Alhamdulillah, kelahiran barunya sebagai seorang Muslim telah berjaya menyebarkan Islam di bumi Amerika serta sedikit sebanyak membersihkan imej umat Islam yang setelah sekian lama dipandang hina serta dipijak-pijak maruahnya. Di sini dibingkiskan juga sebuah sajak hasil karangan Yusuf Estes yang bertajuk: Before and After Islam;

I see now my quest in life had been in vain.
I desired pleasure and material gain.
For those around me, my goals where plain,
I tried to achieve them all without regard to pain.
I wanted the glitter and glamour this world provides.
I couldn't see the treasures that all this hide.
My 'Quest for wealth' - could never buy what I needed most.
My 'Search for fame' - was like trying to catch a ghost.
But when my prayers were for 'Guidance' from the 'One Above'.
I found success in 'Total Submission' to the Will of Him -- in Love.
I found all the riches, glory and happiness that one might require,
But most of all I discovered my real heart's desire.
I found the which is the secret of Life's Lease,
I found the One Who Gave all, when He gave me PEACE.
It finally came after all those years of trouble and strife
That to do "ISLAM" is the PURPOSE OF LIFE.

Begitulah secebis kisah kehidupan seorang manusia yang pada asalnya jauh daripada landasan Islam , namun hakikat kuasa Allah tidak mungkin dapat dihalang bilamana seseorang yang berpegang kuat kepada agama nenek moyangnya pun akhirnya akur dengan kebenaran al-Quran dan agama Islam.

"Sesungguhnya keadaan-Nya apabila Dia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: `Jadilah!` maka terjadilah ia.Maka Maha Suci (Allah) yang di tangan-Nya kekuasaaan atas segala sesuatu dan kepada-Nyalah kamu dikembalikan."(36:82-83)

Sesungguhnya Allah tidak memandang kedudukan mahupun darjat sesorang dalam memberikan hidayahnya. Dan sebaik-baik manusia ialah mereka yang beriman dengan iman yang teguh dan bertakwa dengan takwa yang sebenar-benarnya. Marilah kita sama-sama bermuhasabah diri, meluruskan niat dan memperbaharui iman kita agar kita semua sentiasa berada di bawah lindungan Allah. Sesungguhnya Allah jualah yang memegang hati-hati manusia. Berdoalah selalu agar kita semua sentiasa ditetapkan hati dalam Islam.

"Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku di atas agamaMu serta dalam mentaatiMu."






reference:
http://www.islamtomorrow.com/yusuf/priests_n_preachers.htm
http://en.wikipedia.org/wiki/Yusuf_Estes

No comments:

Post a Comment

komenla ape sahaja~♥~