Wednesday, October 14, 2009

♦ Sheikh Fathi Yakan

Alhamdulillah siap jugak my second piece for ash-Shifaa' IMU..apelagi,let us share the knowledge!!!

Di sebalik pelbagai kemelut yang melanda negara Lubnan, ada permata yang muncul memberi sinaran harapan. Siapa yang tidak kenal dengan Sheikh Dr. Fathi Yakan? Beliau sememangnya tidak asing lagi dalam kalangan umat islam yang aktif berdakwah dan terlibat dalam gerakan islamiah. Pemilik nama ini merupakan seorang lelaki yang dilahirkan pada 9 Februari 1933 di Tripoli, Lubnan serta dibesarkan dalam keluarga yang kuat pegangan agamanya. Beliau berkelulusan ijazah sarjana dalam bidang kejuruteraan serta mendapat gelaran doktor bagi bidang Bahasa Arab dan Pengajian Islam. Beliau telah bertemu jodoh dengan Dr. Mona Haddad dan mendapat 4 orang cahaya mata hasil daripada perkahwinannya dengan Dr. Mona Haddad.

Penglibatannya dalam bidang dakwah bermula sejak beliau masih muda belia lagi. Di awal 20-an beliau telah ditemukan dengan Ketua Ikhwanul Muslimin Syria, iaitu Sheikh Dr. Mustafa Sybaie. Bermula daripada pertemuan itu, Dr. Fathi mula berminat untuk menubuhkan cawangan Ikhwanul Muslimin di Lubnan. Maka pada awal tahun 60-an, tertubuhlah Jemaah Islami Lubnan yang ditubuhkan oleh beliau dan rakan-rakannya. Gerakan tersebut merupakan cawangan Ikhwanul Muslimin Lubnan.

Dr. Fathi bukan sahaja berteori dalam menyampaikan dakwahnya tetapi beliau juga turut sama turun padang untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai pendakwah. Dr. Fathi juga telah melibatkan diri dalam bidang politik setelah menerima pilihanraya sebagai salah satu medium untuk meletakkan Islam di tempat yang berautoriti. Pada asalnya beliau tidak bersetuju dengan gerakan Islam yang mengambil cara demokrasi dengan bertanding dalam pilihanraya. Namun setelah melihat perubahan suasana serta cara tindakan merubah kerajaan daripada luar tidak berjaya, beliau akhirnya bertanding untuk memenangi kerusi parlimen pada pilihanraya 1992. Dengan izi Allah SWT, beliau berjaya memenangi kerusi parlimen yang dipertandingkan. Beliau telah menjadi ahli parlimen Lubnan sehingga tahun 1996. Sepanjang menjadi ahli parlimen, banyak yang telah dilakukannya demi mengembalikan semula kegemilangan Islam serta mencapi perpaduan umat.

Perjuangan beliau tidak pernah terhenti sehinggalah beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Dengan keberanian dan semangat keislaman yang tinggi, beliau pernah memimpin demonstrasi besar-besaran untuk menggulingkan Perdana Menteri Fuad Siniora yang menjadi tali barut Amerika. Beliau juga pernah dipenjarakan sepertimana pejuang-pejuang Islam yang lain. Beliau telah dipenjarakan kerana tulisan serta pembabitannya dalam gerakan Islam dianggap sebagai mengancam kedudukan dan memerbahayakan pemerintahan. Semasa di penjara, beliau tidak terlepas daripada diseksa dengan zalim. Ada khabar yang memberitakan bahawa seluruh tubuh beliau telah diseterika semasa di penjara.

Selain itu, sepanjang menjadi ahli politik, beliau sering dijemput untuk menghadiri persidangan-persidangan antarabangsa yang berkaitan dengan isu-isu yang melanda dunia. Beliau juga dijemput oleh negara-negara Islam dan gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia untuk menghadiri seminar, muktamar dan pelbagai kegiatan dakwah. Malaysia juga sudah beberapa kali menjemput dan menerima kunjungan beliau dalam hal ini. Gerakan-gerakan Ikhwanul Muslimin daripada seluruh pelosok dunia juga sering merujuk beliau dalam perkara-perkara yang memerlukan ijtihad ulama'. Di samping itu beliau juga turut terlibat dalam usaha mendamaikan krisis dan pergolakan yang berlaku di Lubnan.

Selain pembabitan beliau dalam bidang politik, beliau juga sangat aktif dalam bidang penulisan. Lebih 35 buah buku telah dikarang beliau. Antara hasil karangan beliau yang terkenal di seluruh dunia ialah 'Apa Ertinya Saya Menganut Islam?'. Buku ini telah dicetak dalam pelbagai bahasa di serata dunia. Buku ini banyak membicarakan tentang ciri-ciri dan sifat-sifat sebenar seorang muslim. Buku ini juga memberikan kefahaman yang mendalam tentang kewajipan beramal dengan ajaran Islam serta kewajipan bergabung dengan gerakan Islam. Buku ini menjadi antara rujukan wajib bagi para pendakwah serta ahli gerakan Islam dan tak lupa juga sebagai teks rujukan usrah pelajar-pelajar universiti. Selain buku tersebut, buku-buku lain yang menjadi bacaan wajib penggerak dakwah ialah 'Bahtera Penyelamat Dalam Kehidupan Pendakwah' dan 'Golongan Yang Tercicir di Sepanjang Jalan Dakwah'.

Selain itu, beliau merupakan pengasas majalah Al-Aman. Beliau juga turut menubuhkan sebuah universiti Islam swasta di Utara Lubnan bersama isterinya, iaitu Universiti Jinan.Universiti ini menerima pelajar dari seluruh dunia termasuk Malaysia. Menariknya, pelajar Kolej Islam Darul Ulum, Kedah yang ingin melanjutkan pelajaran ke sana mendapat diskaun 90%. Hal ini adalah kerana Dr. Fathi amat rapat dengan Allahyarham Ustaz Fadhil Nor. Beliau juga kerap memberi peransang kepada golongan muda supaya kembali kepada Islam. Kepentingan anak muda dalam gerakan Islam amat ditekankannya sehingga tercatat dalam penulisannya yang berbunyi:

"Pemuda ialah suatu tenaga yang digunakan oleh Islam untuk membangunkan dan memakmurkan alam, tetapi hari ini orang lain mempergunakan mereka untuk meruntuhkan umat manusia. Sesungguhnya masyarakat hari ini penuh sesak dengan pemuda tetapi pemuda-pemuda ini hanyalah kosong, hanyut dan terbiar; pemuda yang tiada peribadi bersikap seperti kera, pemuda yang tiada akhlak lebih dekat dengan binatang, pemuda yang dijadikan tentera oleh golongan kuffar dan disusun oleh parti-parti kuffar, pemuda pondan yang tiada kebaikan pada mereka. Tetapi keberkatan datang bersama pemuda-pemuda yang tinggi cita-citanya."

Dunia Islam suram dengan hilangnya satu lagi permata berharga yang dikirim Allah untuk memimpin umatNya. Sheikh Fathi Yakan akhirnya menghembuskan nafasnya selepas zuhur pada 13 Jun 1009 yang lalu akibat diserang angin ahmar. Liku-liku kehidupan beliau boleh disimpulkan seperti petikan kata-kata hikmah daripada Ibnu Taimiyah yang berbunyi "Apakah yang diperbuat musuh padaku!.. Aku, terpenjaraku adalah khalwat. Kematianku adalah mati syahid. Terusirku dari negeriku adalah rekreasi."

Semoga pemergian beliau akan diganti dengan berjuta lagi permata yang bakal mengembalikan sinar kegemilangan Islam. InsyaAllah..Semangat dan kegigihan beliau dalam mengembangkan Islam harus dicontohi. Pemuda-pemuda harus bangkit dan kembali kepada Islam serta berani memperjuangkan agama Allah yang hak ini kerana pemudalah yang akan memimpin generasi yang akan datang. Sekiranya para pemuda masih lagi leka dan lalai dengan hal-hal duniawi, maka dimanakah Islam di masa akan datang?

No comments:

Post a Comment

komenla ape sahaja~♥~