Friday, January 2, 2009

♦ diari seorang wanita palestin

24 December 2002


Diari, bisakah kau mendengar luahan hati ini? Menerima aku? Menjadi
teman tatkala aku menyitir sejarah silamku? Diari, jangan kau berpaling
daripadaku sebagaimana dunia berpaling daripada menyaksikan derita
bangsaku. Aku keseorangan diari. Sebatang kara di bumi Tuhan yang amat luas
ini. Namun mujur, masih ada yang sayang dan cinta padaku. Kau ingin tahu
siapa diari? Dialah Tuhan, Allah yang Maha Esa. Melalui cintaNya, aku
hidup sehingga kini, kerana RahimNya, aku dapat menghirup pawana petang
ini. CintaNya melangit tinggi, membelai badai pilu yang acapkali
menghempas pantai hati. CintaNya, menenangkan kalbu yang berombak lara,
memercik atma yang lama berdarah. Diari, surat cintaNya sering aku
alun-alunkan . Furqan itu temanku. Ah, aku yakin akan cintaNya, amat yakin,
diari!

Aku berbangga diari, bumiku merupakan tanah yang diberkati Rabbul
Jalil. Malah kisahnya dirakamkan di dalam Al-Quran.(Surah Al-Isra’:1-7).
Terselit di lembaran sejarah, Masjidil Aqsa menjadi saksi ketika Isra’ dan
Mikraj Nabi, menjadi kiblat yang pertama bagi seluruh ummat Islam.
Palestin bagiku umpama rentangan kain putih yang bersih, suci dari dosa dan
noda. Namun entah kenapa tangan-tangan jijik dan kotor itu galak
menconteng kanvas putih dengan warna darah dan air mata. Galak melakar dengan
derita dan sengsara.

Diari, mungkin sudah tersurat bahkan tersirat, perjalanan hidupku
bermula dengan payah. Sejak kecil aku ditakdirkan kehilangan ummi dan walid.
Aku yatim piatu, diari! Tika aku masih merah, masih bergantung pada
sumur ummi menghilangkan dahaga, kampungku dirodak peluru dan bom tidak
bermata. Ummi dan walid terkorban. Shabra dan Shatila tenggelam dalam
banjir darah dan air mata. Namun, aku masih mentah untuk mengerti
segala-galanya. Aku tidak mengerti tatkala Apache rakus merobek dada walid, aku
tidak mengerti tatkala ummi dengan payah berlari mendapatkan walid dan
akhirnya syahid di pangkuan lelaki itu. Dan aku juga tidak mengerti,
tika abang meraung menyaksikan segala-galanya, meratap pemergian walid
dan ummi tercinta. Aku tidak mengerti! Apa yang aku mengerti cumalah
menangis tika tekakku kering, menangis apabila perutku lapar minta diisi.
Nyaringnya tangisanku samalah seperti nyaring hilai tawa Ariel Sharon,
Ketua Parti Likud yang berpesta meraikan kemenangan dalam lautan manusia
yang tidak bernyawa.

Aku dibesarkan oleh Pak Cik Zaid dan Mak Cik Sarah di pinggir Masjidil
Aqsa. Sementelahan Pak Cik Zaid adik kandung ummiku. Aku dinamakan
Asiah, mengutip kecekalan, dan ketabahan permaisuri Firaun. Wanita yang
tegar dengan keIslamannya. Kau tahu diari, kau mengenal kasih sayang
seorang ibu dan ayah daripada bicara indah dan usap belai mereka. Aku
merasai bening cinta daripada mutiara nasihat dan kucupan mesra mereka.
Ketegasan Pak Cik Zaid membentukku menjadi seorang gadis yang solehah. Aku
tidak betah membiarkan rambutku diratah dan dijamah oleh lelaki-lelaki
ajnabi. Lalu aku jaganya dengan pakaian hijab. Hatiku, aku lenturkan
dengan tartil Furqan. Kedegilanku, aku benamkan dengan biah Islamiah.
Akhlakku, aku hiasi dengan kuntuman sifat-sifat mahmudah.

Pak Cik Zaid sering membisikkan kalam perjuangan ke telingaku. Malah
mimbar Masjidil Aqsa kerap bergegar dengan suara paraunya. Alunan azannya
acapkali meruntun jiwa, mengocak atma. Hatiku turut tersentuh tatkala
manik-manik jernih gugur dan bersatu di pipi tuanya. Dia berbicara,
membuka lembaran sejarah Quds satu persatu kepadaku. Sering dia luahkan
kekesalannya, kegagalannya membebaskan tanah Isra’ itu dengan tangannya
sendiri. Ah, diari, lelaki tua itu terlalu cekal semangatnya. Terlalu
utuh pendiriannya. Roh jihad seolah-olah sudah menghamili dirinya. Malah
aku sendiri terdorong oleh semangatnya. Dan aku bertekad, bumi suci ini
tidak akan aku relakan dijarah oleh Yahudi walau seinci pun.

Diari, tahukah dikau, tanahku ternyata berbeza dari tanah-tanah yang
lain. Tanah ini tanah suci, tanah yang diberkati Allah dan RasulNya.
‘Jangan kau kuatkan azam untuk mendatangi, melainkan yang tiga ini,
Masjidil Haram, Masjidil Aqsa dan masjidku ini.’

Namun, benarlah diari, manusia kerapkali alpa. Hilang pertimbangan
apabila harta dan kuasa mengaburi mata. Hati pantas dijarah nafsu durjana.
Hidup mula terpesona, diulit fatamorgana dunia. Lantas musuh yang
tersembunyi mengambil kesempatan. Bumi yang diagung-agungkan dirampas,
diratah dan dijamah tanpa belas kasihan. Diari, Palestin terlepas dari
genggaman Muslimin! Maka sifir keganasan kini bermula dan terus dihitung.
Perang 6 hari tercetus, Semenanjung Sinai mula diperkosa seteru. Palestin
menyaksikan darah merah nan pekat, mengalir, meresap lalu membasahi
buminya.

Diari, hububan pawana yang berpuput di tanah ini seakan-akan membawa
kisah duka. Kisah derita dan sengsara. Aku sesak, amat sesak menghirup
udara ini. Udara yang sudah berbaur hanyir darah bangsaku sendiri.
Cerlang langit tidak seperti dulu, hanya menumpahkan gerimis air mata yang
akhirnya membentuk lautan dan tasik penderitaan manusia. Mentari pijar
memancarkan sinarnya seolah-olah memahami penderitaan penghuni-penghuni
Quds yang lemah dan tidak bermaya.

Aku muak dan loya pada setiap kali perbincangan di meja bulat.
Perbincangan yang tidak membawa apa-apa manfaat pada Islam. Setiap kali
pertemuan diplomasi diadakan, aku sudah arif akan natijahnya. Kau tahu diari,
proses rundingan damai hanyalah sandiwara semata-mata. Kertas putih itu
tidak punyai apa-apa kuasa. Bebas disanggah oleh Yahudi pada bila-bila
masa. Yahudi bukan sahaja pengganas yang hebat malah pelakon berbakat.
Tunggak utamanya dimainkan oleh seorang Pemimpin Parti Likud, Ariel
Sharon yang bertopengkan wajah syaitan di sebalik diri manusia. Hatiku
bagai tersiat-siat bergaul kebenciaan tatkala wajah itu bertandang di
birai mata. Pemimpin itu masih bernafas dalam lautan darah manusia!

Diari, tahukah dikau bahawa diri ini sudah tidak sanggup menyaksikan
bangsaku……bangsaku yang berkongsi aqidah yang satu disembelih seteru
sewenang-wenangnya. Hati diruntun rusuh membilang jiwa yang
gugur,satu-persatu tumbang di dada Palestin. Nyawa bagaikan tiada nilainya. Ibu
kehilangan anak, isteri kehilangan suami. Saat itu diari, aku sudah tidak
tahu entah berapa kali empangan air mataku pecah. Entah berapa dalam lurah
dukaku ini. Pilu mencengkam kalbu, apabila anak-anak kecil yang tidak
berdosa turut menjadi korban angkara hujanan peluru yang tidak mengenal
mangsa. Apalah salah dan daya mereka? Lahir tanpa sedikitpun palitan
dosa dan noda. Diari, pejamkan matamu sejenak…….bayangkan penderitaan
ummatku. Penderitaan yang semakin sebati, menghamili hidup kami yang sudah
berabad-abad lamanya. Calaran tangan-tangan kotor Yahudi ada di
mana-mana. Ramallah, Tebing Gaza, Rafat, Jenin, Al-Khalil menjadi mangsa.
Benarlah diari, dalam Kalamullah Yang Agung, ‘Demi sesungguhnya engkau
(Muhammad) akan mendapati manusia yang keras sekali permusuhannya terhadap
orang-orang beriman ialah orang Yahudi dan orang-orang Musyrik.
(Al-Maidah:82)

Diari, adakah keadilan dinisbahkan dengan sebutir peluru? Adakah
kedamaian diukur dengan titisan darah dan air mata? Tetapi itulah yang
berlaku pada neraca dunia hari ini, diari. Dunia seolah-olah buta, bisu dan
tuli. Biarpun penderitaan bangsaku digambarkan di layar antarabangsa,
namun bayang-bayang keamanan kukira terlalu kabur. Ah! Pemimpin Zionis
itu masih mampu berdiri megah, galak bergelak ketawa sedangkan ummatku di
sana sedang bergelut….bergelut antara hidup dan mati. Dunia seakan-akan
menceraikan bangsaku dengan talak tiga, membenam dan mengubur
kebenaran, membela kebathilan!

Diari, aku sering tertanya-tanya, dengan apa bisa aku kembalikan
kegemilangan Islam di bumiku ini. Dengan tangan? Dengan kudrat? Dengan tubuh?
Atau dengan ilmu? Getar gegendang telinga masih terngiang-ngiang,
menangkap butiran kalimah yang pernah terlontar di bibir Pak Cik Zaid,
bahawa Nabi pernah bersabda ‘Barangsiapa yang inginkan dunia, maka dengan
ilmu, barangsiapa yang inginkan akhirat maka dengan ilmu, barangsiapa
yang inginkan kedua-duanya maka jualah dengan ilmu.’Sungguh, ilmu itu amat
penting, diari!Ilmu mempertemukan seorang hamba dengan penciptanya,
ilmu metimbunkan ukhuwah antara seorang sahabat dengan sahabatnya. Begitu
jualah dengan aku. Kembara pencarian ilmu ini aku teruskan di kota
kecil, Universiti Hebron. Di sana, aku mendasari ilmu perundangan Islam.
Aku kembali merungkai fitrah insani, kembali kepada menghayati kedua-dua
syariat dan syiar Islam, Al-Quran dan Sunnah.

Perjalanan hidupku sebagai siswi berjalan lancar. Telahku bulatkan
azam, pejalkan tekad bahawa pencarian mutiara ilmu ini bukanlah bernawaitu
kemegahan dan pujian dunia, tetapi kerana Allah. Kerana aku punya
cita-cita yang satu, ingin melihat bumiku bebas dari cakaran kafirun! Aman
dari genggaman Yahudi! Lantas aku mendalami dua sumber Agung ini,
berdamping dan bermesra dengan Furqan dan Hadith. Tenang! Itu yang aku rasai
diari, menjalar dan menjejali ke segenap tangkai hati.

Diari, dalam melayari hari-hari remajaku, aku tidak dapat lari……tidak
dapat lari daripada naluri yang semakin hari semakin bergejolak. Di
bustan itu, menemukan aku dengan Amar, jejaka yang berkongsi hadaf
denganku. Kami sefikrah, sefahaman malah saling memahami. Adakah itu dinamakan
cinta,diari? Perhubungan atas dasar sahabat ini telah mengikat sutera
kasih antara kami. Lalu dia cuba selami senandung nada kalbuku padanya.
Semakin lama titisan ukhuwah ini, semakin berputik keyakinan yang amat
payah untukku huraikan. Wartawan ‘Falestin Muslimah’ itu benar-benar
mencuri hatiku, mengocak sukmaku diari! Redup matanya menatap hening
mataku , menimbulkan perasaan yang sukar untukku mengertikan. Ah, kalaulah
bisa kau selami hatiku yang berbunga riang di saat itu diari!

Untaian cinta ini bertambah erat dalam pertautan yang sah. Amar
melamarku, mengintai izinku menjadi serikandi dan permaisuri dalam hidupnya.
Lantas musim siffin menjadi saksi, penyatuan antara dua cinta dan hati.
Aku dan Amar diakadkan dalam satu majlis yang sederhana tetapi meriah.
Maka bermulalah penghidupan yang asing bagiku. Kehidupan sebagai
seorang isteri kepada seorang penulis yang tidak jemu-jemu meniupkan api
semangat melalui qalam dan penanya. Aku kagum! Kagum dengan jiwa kental
suamiku. Dia juga menghamili roh jihad, sama seperti pak cikku.

Hari-hari yang kulalui bersama Amar terasa indahnya. Dia lelaki soleh.
Mengimami aku dalam segenap hal. Saban hari dia membisikkan padaku,
mengalun-alunkan bait-bait indah di telingaku. Betapa dia rindu akan
Al-Khaliq. Rindu menjadi syuhada’. Rindu pada Syurga Firdausi. Ah, rindunya
terlalu dalam…….amat mendalam diari. Sering dia membicarakan
kisah-kisah perjuangan kepadaku. Penuh penghayatan. Sejarah silam itu seakan-akan
sudah sebati dengan jiwanya. Coretan hidup Hassan Al-Banna yang terbiar
di Hospital Al-Qasran Aini dek renjaman peluru tidak bermata,
kekentalan Salahuddin Al-Ayubi, membebaskan Palestin dalam Perang Hittin yang
dahsyat, seutuh jiwa Sayyid Qutb yang terpenjara, dibelenggu Sijin
Harbie, semuanya sudah termaktub dalam kamus diari hidupnya.

Diari, tugasnya seorang wartawan menuntut pengorbanan waktu dan masa.
Tika hanya berbulan dan berbintang, dia khusyuk mengakrabkan diri, setia
menitipkan kalimah dan kalam perjuangan. Hinggakan aku tidak tahu
bilakah bantal dan tilam dapat menemani kantuknya! Acapkali juga aku
terlentok di bahu meja, terlena di lengan sasanya. Taipan jari-jemari menekan
keyboard seolah-olah irama yang merdu, membuai tidurku. Namun aku
bahagia begitu. Sudah aku arif jihadnya di arena itu, di gelanggang itu.
Jihad di hujung mata pena!

Tautan cinta ini bertambah erat dan kukuh apabila ladangku subur
menyemai zuriatnya. Amar amat gembira, terlalu gembira. Ah, diari, tidak
dapat aku gambarkan saat dan ketika itu. Betapa bahagianya aku. Betapa
bahagianya dia. Maka kandungan ini kami tatang dengan penuh sempurna.
Peralihan masa yang menjadi fitrah setiap penciptaan Ilahi menyaksikan
bayiku perlahan-lahan membentuk mudghah. Embrionya ini diimplantasikan di
dinding rahimku lantas menjadi janin yang berkembang. Dia bernafas
seiring dengan nafasku. Dia berdenyut selari dengan denyutan jantungku. Surah
Luqman, Yusuf, Maryam sering aku alun-alunkan. Dia mula bertindak balas
pada kalimah tayyibah yang aku lagukan. Indahnya saat menjadi ibu,
diari!

Namun tidak disangka, gerimis melanda hidupku ketika aku sedang enak
mengecap nikmat kebahagiaan. Aku masih ingat malam itu, malam keramat!
Malam yang mengukir titik bidayah kesuraman dalam hidupku. Tika aku dan
Amar khusyuk, tenggelam dalam tartil Furqan, pintu teratak kami diketuk.
Amar ditangkap. Dia dihumbankan ke Sijin Harbie. Askar Israel itu
memang bangsat! Aku ditendang, disepak, ditampar tanpa belas kasihan. Aku
terperosok, sakit di hujung penjuru. Allah, betapa sakitnya! Betapa
peritnya! Perutku terasa begitu pedih seolah-olah dicucuk sembilu berbisa.
Dinding anteriorku mula ditendang-tendang. Mungkin bayiku lemas
berkeadaan begitu. Mungkin bayiku turut merasai kesakitan dan kepedihan seperti
diriku.

“Sabarlah wahai anakku, ummi tidak mampu berbuat apa-apa.” Aku cuba
titipkan kalimah itu dengan harapan janin itu memahami kesengsaraanku.
Musim derita ini tidak berakhir begitu sahaja, memanik jernih turun laju
menjujuh, membasahi bajuku tatkala Amar dibawa pergi, dan akhirnya
hilang dari pandangan mataku.

Diari, taqdir Ilahi aku terima dengan penuh kerelaan. Bukankah ummat
Islam dituntut beriman pada Qada’ dan Qadar? Aku pasti diari, ada hikmah
yang bakal tersingkap dari perjalanan hidupku yang berliku. Ada madu
yang akhirnya akan mencairkan pahit hempedu. Sudah fitrah perjuangan
diari, penuh mehnahnya. Penuh onak dan duri. Namun sesekali diari, aku
tidak mampu menolak bayangan Amar yang kerapkali bertandang di layar mata.
Hati mula ditiup rindu. Menerobos kalbu. Aku rindu seraut wajah itu.
Wajah redup yang menimbulkan ketenangan. Wajah bersih yang bersifat
penyayang. Saban malam, aku tenggelam dalam linangan air mata. Aku terlalu
rindukan Amar, diari!

Diari, kandunganku ini kubelai penuh kemanjaan walaupun tanpa Amar di
sisi. Aku nukilkan padanya kisah-kisah junjungan mulia. Jauh di sudut
hati, aku ingin dia lahir mewarisi sifat-sifat terpuji Rasullullah. Aku
ingin melihat dia menjadi Salahuddin Al-Ayubi yang kedua, bakal
membebaskan Palestin dari taghut yang menggila. Harapanku padanya tinggi! Amat
tinggi! Diari, hamparan suci itu acapkali menjadi saksi ketika doaku
berentet panjang. Aku pohonkan keselamatan dan kesejahteraan suamiku,
yang tiada khabar berita. Meskipun aku arif benar, tiada siapa yang mampu
terlepas dari cengkaman maut penjara puaka itu. Ah, bukankah doa itu
senjata orang-orang mukmin? Aku rela dan redha, andai ditakdirkan suamiku
terkorban di sana, andai ditakdirkan dia bergelar syuhada’.

Diari, entah mengapa, mutakhir ini aku sering bermimpi bayangan yang
sukar untuk ditafsirkan. Bayangan yang kerapkali mengganggu gharisahku.
Aku bermimpi, aku berlari-lari di taman yang indah, cantiknya yang tidak
dapat aku gambarkan. Air sungai mengalir tenang tanpa kenal erti tandus
dan gersang. Tiadapun segaris duka di raut wajahku ketika itu, diari.
Aku gembira menyusuri taman yang bunganya mekar, mengelopak dan
mengembang. Harum yang mewangi di segenap ruang. Paling mengejutkan diari, Amar
malahan anakku juga ada di sana. Mereka melambai-lambai sambil
tersenyum mesra ke arahku. Apakah makna mimpiku itu diari?

Diari, jari jemariku terasa lenguh, ralit melakarkan coretan ini. Tanpa
aku sedari malam kian melabuhkan tirainya. Kantuk semakin memberat di
birai mata. Terima kasih diari kerana sudi menjadi temanku, mengakrabiku
di kala kepiluan dan kesedihan begini. Ah, kau setia dairi, setia
mendengar suara dan luahan hati ini. Andai esok mentari bersinar cerah dan
andai esok rohku tidak dijemput pulang, kita bertemu lagi diari.

25 December 2002.


BAITUL MAQDIS, Selasa- Tujuh penduduk Palestin mati akibat letupan bom
dan terkena tembakan semalam, ketika Menteri Luar Israel, Shimon Peres,
memulakan lawatan ke Amerika Syarikat bagi membincangkan pelan damai
Asia Barat.
Letupan yang berlaku di pinggir Masjidil Aqsa itu merobohkan sebuah
bangunan dua tingkat serta membunuh seorang budak perempuan yang berusia
dua tahun, seorang budak lelaki yang berusia tujuh tahun dan seorang
wanita hamil……Reuters.

(bicaramuslim.com)